MARITIM NEGERI PULAU PINANG DAN ZON MARITIM KUALA PERLIS TERIMA KUNJUNGAN HORMAT WAKIL AUSTRALIAN BODER FORCES
GEORGETOWN, 24 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang dan Zon Maritim Perlis menerima kunjungan hormat daripada pegawai Australia Border Force (ABF) dari Ibu Pejabat Kedutaan Australia di Kuala Lumpur, semalam.
Pelbagai isu dibincangkan antaranya isu melibatkan penguatkuasaan bagi membanteras jenayah maritim terutamanya kesalahan penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang akan dilaksanakan melalui operasi Redback ke XV.
Wakil ABF yang hadir adalah Inspector Uriah Turner dan Inspector Brendan Hill disambut oleh Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed bagi Maritim Negeri Pulau Pinang. Manakala, Komander Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing bagi Zon Maritim Perlis.
Turut hadir ketika kunjungan hormat berkenaan, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyelarasan Operasi Maritim,Ibu Pejabat Maritim Putrajaya.
KONTIJEN MARITIM NEGERI SABAH DAN W.P LABUAN SERTAI PERBARISAN ANZAC DAY COMMEMORATION ‘LES WE FORGET’
KOTA KINABALU, 25 APRIL – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil bahagian dalam Perbarisan Anzac Day Commemoration 'Lest We Forget' yang berlangsung di Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama, Jalan Tugu semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, tujuan perbarisan ini adalah bagi memperingati pengorbanan semua askar Australia dan New Zealand atau singkatannya ANZAC yang gugur dalam Perang Dunia Kedua di Sabah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, juga pegawai-pegawai kanan termasuk Pegawai Memerintah Kapal.
Kontijen Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan diketuai oleh Leftenan Muda Maritim Mohd Ariff bin Abdul Halim serta 30 pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berpangkalan di Kota Kinabalu.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam perbarisan ini adalah bagi meniupkan rasa kecintaan tanah air dan semangat menghargai kemerdekaan dalam kalangan warga Maritim Malaysia di samping memberi inspirasi untuk terus memartabatkan kedaulatan negara.