NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
MAJLIS PEMAKAIAN PANGKAT LASKAR KELAS I MARITIM
KUCHING, 23 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak telah mengadakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Penguat kuasa Lain-Lain Pangkat, Laskar Kelas I Maritim bertempat di Dewan Perhimpunan, Kompleks Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) yang telah disempurnakan oleh Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Bin Md Yunus,pagi tadi.
Majlis tersebut menyaksikan tiga orang Laskar Kelas II Maritim dinaikkan pangkat ke Laskar Kelas I Maritim iaitu Laskar Kelas I Maritim Azhar Bin Amran, anggota kapal KM Kota Kinabalu, Laskar Kelas I Maritim Nurul Huda Binti Rukais dan Laskar Kelas I Maritim Nur Anis Anisa Binti Ismail Zuki adalah merupakan anggota Unit C3I Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak.
Turut hadir adalah Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Maritim Yousry Bin Yaali dan Timbalan Pengarah Pengurusan Encik Yusuf Mok Bin Mohd Generawi.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.