21
Rab, Okt

Grid List

DUA PATI WARGA THAILAND, DISYAKI JALANKAN AKTIVITI PERIKANAN TANPA LESEN

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C DITAHAN, ENAM WARGA MYANMAR GAGAL KEMUKAKAN DOKUMEN SAH

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT DAN KAPAL KARGO ASING DALAM DUA KES BERASINGAN

APMM - JCG PERKUKUH KERJASAMA CARILAMAT MARITIM MALAYSIA - JEPUN MELALUI SARCOMEX

DUA VESEL NELAYAN TEMPATAN KELAS C LANGGAR SYARAT LESEN, KRU ASING TANPA DOKUMEN DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT, LIMA KRU WARGA MYANMAR DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN IMIGRESEN

MARITIM MALAYSIA PANTAS BANTU PEMINDAHAN PERUBATAN PESAKIT DARI PULAU PERHENTIAN KECIL

BOT FIBER TANPA PENDAFTARAN, TIGA WARGA MYANMAR DITAHAN

MARITIM MALAYSIA TAHAN VNT DAN KAPAL KARGO ASING DALAM DUA KES BERASINGAN

LUMUT, 15 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) dan sebuah kapal kargo asing dalam dua kejadian berasingan selepas disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang perikanan dan perkapalan di perairan Perak.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Shukri bin Khotob berkata, dalam kejadian pertama, sebuah VNT ditahan kira-kira jam 9.55 pagi semalam pada kedudukan lebih kurang 2.0 batu nautika barat laut muara Sungai Burung, Perak, ketika bot ronda Maritim Malaysia melaksanakan operasi penguatkuasaan.

Menurut beliau, pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong warga Malaysia berusia 56 tahun.

“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan selain gagal mempamerkan lesen vesel sebagaimana ditetapkan,” katanya.

Tekong berkenaan ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Dalam kejadian berasingan, Maritim Malaysia turut menahan sebuah kapal kargo asing jenis bulk carrier berdaftar di Panama selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran pada kedudukan kira-kira 23.4 batu nautika barat daya Tanjung Lumba-Lumba, Perak, sekitar jam 4.00 petang, Selasa lalu.

Mohd Shukri berkata, kapal berkenaan pada awalnya dikesan menerusi radar Sistem Pengawasan Maritim (SWASLA) Lumut sebelum maklumat disalurkan oleh Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak kepada aset penguatkuasaan untuk tindakan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kapal tersebut disyaki melakukan dua kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia serta gagal memaklumkan ketibaan vesel di perairan Malaysia,” katanya.

Susulan pemeriksaan itu, tiga kru terdiri daripada seorang warga Rusia berusia 34 tahun dan dua warga Myanmar masing-masing berusia 33 dan 37 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak bagi membantu siasatan.

Dokumen berkaitan kapal turut disita untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia bagi melengkapkan siasatan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Beliau berkata, kedua-dua tindakan penguatkuasaan tersebut mencerminkan pemantauan berterusan Maritim Malaysia terhadap aktiviti di perairan negara, merangkumi pematuhan undang-undang perikanan oleh vesel tempatan serta peraturan pelayaran dan perkapalan yang melibatkan kapal asing.

“Setiap vesel yang beroperasi, memasuki atau berada di perairan Malaysia tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa. Maritim Malaysia akan terus memperkukuh pemantauan menerusi rondaan aset dan sistem pengawasan bagi memastikan keselamatan pelayaran, ketertiban aktiviti maritim serta kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

Grid List

MARITIM MALAYSIA LANCAR DOTAM, PERKUKUH OPERASI BERSEPADU DAN KESIAPSIAGAAN AGENSI

GENTING HIGHLANDS, 14 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melancarkan Doktrin Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (DOTAM) sebagai panduan strategik untuk memperkukuh penyelarasan aset, keberkesanan penguatkuasaan dan kesiapsiagaan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di perairan negara.

Pelancaran disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, sempena Majlis Penutupan Mesyuarat Operasi APMM (MOA) Ke-45 Bilangan 2/2026 yang berlangsung dari 12 hingga 14 Oktober di sini.

DOTAM menggantikan doktrin terdahulu berkaitan pengoperasian kapal dan bot dengan pendekatan lebih menyeluruh yang merangkumi aset laut, aset udara dan sistem sokongan. Doktrin ini menjadi rujukan bagi perancangan, pelaksanaan dan penilaian operasi untuk memastikan tindakan penguatkuasaan serta CARILAMAT dilaksanakan secara lebih tersusun, bersepadu dan berkesan.

Dalam ucapan penutup MOA Ke-45, Mohd Rosli menegaskan bahawa ancaman maritim yang semakin kompleks menuntut pendekatan operasi yang proaktif, berasaskan data dan dipandu maklumat risikan bagi memastikan Maritim Malaysia kekal relevan serta berupaya memenuhi keperluan keselamatan maritim negara.

“Dalam ancaman yang berubah pantas, operasi tidak boleh lagi bersifat reaktif semata-mata; sebaliknya, kita perlu menjangka risiko, meramal pola dan membuat keputusan berasaskan data,” katanya.

Bagi menyokong operasi bersepadu, DOTAM menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI), sistem pemantauan maritim dan integrasi maklumat untuk memperkukuh Kesedaran Domain Maritim (Maritime Domain Awareness – MDA). Pendekatan ini membantu pengesanan awal ancaman, perancangan penggerakan aset serta pelaksanaan tindak balas yang lebih pantas dan tepat.

MOA Ke-45 turut menggariskan langkah strategik bagi memperkasa operasi penguatkuasaan dan CARILAMAT melalui penstrukturan semula aset kapal, perjawatan dan penempatan, penubuhan Pos Operasi Hadapan (POH), pemerkasaan rantaian arahan serta pengukuhan keselamatan maklumat operasi.

Agenda pemerkasaan itu turut merangkumi pembangunan MDAi menerusi Pelan Strategik 2026–2031, termasuk pemusatan data, pembangunan papan pemuka AI dan penambahbaikan sistem e-Jutra bagi memperkukuh analisis situasi serta risiko untuk menyokong keputusan operasi yang lebih pantas dan tepat.

Mohd Rosli berkata, penerimaan helikopter AW189 dan pelancaran Kapal Misi Pelbagai Guna Pertama (MPMS 1) di Türkiye mencerminkan kemajuan pemodenan aset Maritim Malaysia. Bagaimanapun, peningkatan keupayaan tersebut perlu disokong oleh anggota yang kompeten, penyelenggaraan teratur dan pengurusan logistik yang cekap bagi memastikan aset dimanfaatkan secara optimum.

“Pembangunan modal insan mesti digerakkan seiring dengan pembangunan aset dan teknologi,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan semua lapisan kepimpinan supaya sentiasa menilai dan menambah baik kaedah kerja, meningkatkan kompetensi warga serta memastikan setiap ketetapan mesyuarat diterjemahkan kepada tindakan berfokus dan diselesaikan dalam tempoh ditetapkan. Integriti, disiplin dan kepimpinan melalui teladan perlu menjadi asas pelaksanaan tugas bagi memastikan Maritim Malaysia kekal profesional dan berwibawa.

Dalam usaha memperkukuh profesionalisme dan integriti warga agensi, Maritim Malaysia turut menganjurkan Anugerah Siasatan Jenayah Maritim 2026 buat julung kalinya pada 13 Oktober di Genting Highlands bagi mengiktiraf kecemerlangan warga siasatan. Seksyen Siasatan Jenayah Maritim, Ibu Pejabat Maritim Negeri Johor menerima anugerah Seksyen Siasatan Terbaik dan Piala Pusingan Zulkifili, manakala Leftenan Maritim Husaini bin Ishak dari Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah dinobatkan sebagai Pegawai Penyiasat Terbaik dan Bintara Muda Maritim Radhi Petrus bin Abdullah dari Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu sebagai Anggota Teknikal Siasatan Terbaik.

Pelaksanaan DOTAM, ketetapan MOA Ke-45 dan pengiktirafan kecemerlangan warga siasatan mencerminkan usaha berterusan Maritim Malaysia memperkukuh keupayaan operasi, sistem penguatkuasaan dan pembangunan modal insan. Usaha bersepadu ini menyokong pelaksanaan amanah agensi dalam mengawal, melindung dan menyelamat demi keselamatan perairan negara serta kesejahteraan rakyat.

hrmisJPAkkdnlogo KSN logo mampu MDECMyGovSPA cropped logo SPRM AMSAS   AMSAS 
 
usa coast guard logoJPAkkdnlogo     KSN   logo mampu  MyGovSPA cropped logo SPRM  WhatsApp Image 2021 06 21 at 09.42.28    AMSAS   MDEC