BATU PAHAT, 17 Julai - Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Tuan Haji Nor Hisham bin Ibrahim telah mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Maritim Zon (IPMZ) Batu Pahat, Johor bagi meninjau fasiliti serta memperkukuh perancangan strategik menerusi Sesi Libat Urus (SLU) bersama warga zon, hari ini.
Ketibaan beliau bersama delegasi yang terdiri daripada wakil Ketua-Ketua Bahagian Pengurusan Maritim Malaysia telah disambut oleh Pengarah Maritim Zon Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal serta barisan pegawai kanan dan warga IPMZ Batu Pahat.
Dalam amanatnya, Tuan Haji Nor Hisham menekankan hala tuju pengurusan agensi serta kepentingan membudayakan nilai integriti, profesionalisme dan prestasi kerja yang cemerlang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Maritim Malaysia terus diperkasakan.
Selain itu, lawatan turut dijalankan ke bangunan lokap baharu bagi meninjau kemudahan yang disediakan serta menilai tahap kesiapsiagaan, fungsi dan kesesuaian fasiliti dalam menyokong pelaksanaan tugas penguatkuasaan serta memastikan kemudahan berkenaan memenuhi keperluan operasi serta piawaian yang ditetapkan.
Lawatan diteruskan ke Maharani Free Port, Muar bagi meninjau kawasan yang dicadangkan sebagai lokasi penempatan Pos Maritim. Tinjauan itu bertujuan menilai kesesuaian lokasi daripada aspek strategik, logistik dan keperluan operasi bagi menyokong perancangan penempatan Pos Maritim, sekali gus meningkatkan keupayaan pemantauan, tindak balas operasi dan penguatkuasaan Maritim Malaysia di perairan sekitar.
Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memperkukuh hubungan antara pengurusan tertinggi dan warga kerja, di samping memastikan pembangunan fasiliti serta kesiapsiagaan operasi terus diberi perhatian ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, berkesan dan berintegriti.













.svg.png)

