TAWAU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menyertai Search and Rescue Exercise (SAREX) Air Region 2-26 yang dianjurkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2) sebagai platform menguji kesiapsiagaan serta memperkukuhkan penyelarasan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) melibatkan pelbagai agensi di Pantai Timur Sabah.
Latihan ini menghimpunkan penyertaan pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan termasuk Maritim Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) serta beberapa agensi sokongan yang lain. Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah diwujudkan bagi menyelaras keseluruhan operasi serta memastikan komunikasi dan tindakan semua agensi berjalan secara sistematik.
Senario latihan mensimulasikan sebuah pesawat C-130H “Eagle 164” milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang membawa 20 orang termasuk kru dan penumpang dilaporkan mengalami kecemasan sebelum terhempas di perairan berhampiran Tawau. Insiden tersebut telah mengaktifkan operasi CARILAMAT melibatkan pencarian udara dan laut bagi menguji keupayaan tindak balas pantas semua agensi yang terlibat.
Bagi menguji keupayaan operasi pelbagai agensi, sebanyak 21 aset yang terdiri daripada aset laut, udara dan darat telah digerakkan sepanjang eksesais ini, termasuk kapal, bot penyelamat, pesawat, helikopter, ambulans, jentera bomba serta pasukan perubatan dan penyelamat. Operasi di lokasi kejadian diselaraskan melalui Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) dengan penglibatan Pegawai Perhubungan (Liaison Officer) daripada setiap agensi bagi memastikan perkongsian maklumat, koordinasi aset serta pengurusan mangsa dapat dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
Latihan ini bertujuan menguji keberkesanan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi CARILAMAT, IAMSAR serta mekanisme koordinasi antara agensi dalam mengendalikan insiden pesawat yang melibatkan operasi mencari dan menyelamat berskala besar.
Selain menguji prosedur operasi standard (SOP), latihan ini turut menjadi platform memperkukuhkan komunikasi, koordinasi dan kerjasama strategik antara semua agensi, di samping menilai keupayaan aset, pengurusan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC), pengurusan maklumat mangsa serta kompetensi anggota dalam mengendalikan situasi kecemasan.













.svg.png)

