CHERATING, 1 FEBRUARI – Maritim Malaysia terus memperkukuh keupayaan penguatkuasaan maritim negara melalui penganjuran Kursus Search of Vessels for Concealed Contraband and Stowaways Workshop dengan kerjasama United Nations Institute for Training and Research (UNITAR) yang berlangsung selama lima hari bermula 26 hingga 30 Januari bertempat di Cherating, Kuantan, Pahang.
Penganjuran kursus itu merupakan inisiatif strategik Maritim Malaysia dalam memperkasa kompetensi pegawai dan anggota selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan, keselamatan, profesionalisme serta tadbir urus berintegriti. Kursus memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan operasi pengesanan terhadap aktiviti penyeludupan barangan terlarang dan kemasukan pendatang tanpa izin secara tersembunyi (stowaways), sekali gus menyumbang kepada keselamatan perairan negara secara berterusan.
Seramai 25 orang peserta terdiri daripada Pegawai dan Pegawai Lain-Lain Pangkat Maritim Malaysia telah mengikuti kursus ini di bawah bimbingan Cristian Stafrace, tenaga pengajar UNITAR yang mempunyai kepakaran khusus dalam bidang pengurusan risiko dan keselamatan maritim antarabangsa.
Sepanjang kursus, para peserta didedahkan kepada gabungan pembelajaran teori dan latihan praktikal berasaskan senario operasi sebenar, merangkumi teknik pemeriksaan vesel secara menyeluruh, kaedah mengenal pasti ruang dan kompartmen tersembunyi, serta pematuhan terhadap protokol keselamatan operasi bagi melindungi anggota penguat kuasa, aset dan nyawa manusia di laut.
Penganjuran kursus ini turut mencerminkan komitmen Maritim Malaysia dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi secara mampan, di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa bagi menangani cabaran keselamatan maritim yang bersifat rentas sempadan.
Seiring dengan kerangka Malaysia MADANI, usaha berterusan ini memperlihatkan kesungguhan Maritim Malaysia dalam memastikan penguatkuasaan maritim negara dilaksanakan secara holistik, berdaya tahan dan berorientasikan masa hadapan, demi menjamin kedaulatan perairan, kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara secara lestari.




















.svg.png)

