PELABUHAN KLANG, 4 JUN – Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan Perbarisan Tempur Tahunan dan Majlis Paluan Berundur Pegawai Waran Markas dengan penuh istiadat dan penghormatan di pejabat Pasukan Tindakan Khas (STAR Team), Skuadron Gempur Semenanjung.
Perbarisan tersebut telah disempurnakan oleh Komander STAR Team, Kepten Maritim Syuzefril bin Mat Noor dan disertai oleh tujuh pegawai serta 50 anggota termasuk dari Skuadron Selam Negeri di Semenanjung dan Sabah Sarawak.
Menerusi majlis itu, beliau turut melaksanakan pemeriksaan peralatan lengkap pegawai dan anggota secara menyeluruh bagi memastikan semua kelengkapan berada dalam keadaan siap guna setiap masa untuk latihan atau penugasan operasi.
Beliau dalam ucapannya menekankan kepentingan 'sense of belonging' dalam penggunaan dan penjagaan peralatan tempur pasukan, memandangkan aset tersebut bernilai tinggi dan menjadi tonggak kepada kecekapan operasi pasukan khas Maritim Malaysia.
Turut ditegaskan ialah aspek disiplin yang menjadi teras utama kepada kekuatan dan integriti setiap pegawai dan anggota STAR Team. Kepten Maritim Syuzefril turut menyeru seluruh pasukan agar sentiasa dalam kesiapsiagaan penuh sebagai barisan penggempur utama Maritim Malaysia dalam menangani sebarang ancaman keselamatan maritim negara.
Acara turut menyaksikan detik bersejarah dengan Majlis Paluan Berundur Pegawai Waran I Maritim Sabri bin Nordin yang telah berkhidmat sejak penubuhan awal STAR Team pada tahun 2005. PW I Maritim Sabri merupakan antara anggota Tim Nukleus yang membentuk asas penubuhan pasukan ini bersama Laksamana Pertama Maritim Abim anak Sugom.
Antara sumbangan besar beliau termasuk melatih kumpulan pertama 24 pegawai dan anggota STAR Team pada Julai 2009 melalui kerjasama dengan Pasukan Khas Udara (PASKAU) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebelum diteruskan dengan latihan bersama Pasukan Khas Laut (PASKAL). Komitmen dan dedikasi beliau dalam membina keupayaan tempur pasukan akan terus dikenang sebagai legasi yang membanggakan.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar dan acara street lining sebagai penghormatan terakhir kepada PW I Maritim Sabri yang meninggalkan perkhidmatan dengan jasa dan pengorbanan beliau.





















.svg.png)

