KOTA KINABALU, 20 JANUARI – Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik, menerima kunjungan hormat daripada Asisten Ketua Staf Keselamatan Bahagian Operasi Laut (BOL), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Kepten Mohd Harris Sadi, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di pejabatnya hari ini.
Kunjungan hormat yang berlangsung selama hampir satu jam itu bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik serta membuka ruang perbincangan dua hala antara Maritim Malaysia dan ESSCOM berkaitan isu-isu keselamatan perairan Sabah.
Antara perkara yang dibincangkan termasuklah langkah-langkah memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan timur Sabah, perkongsian maklumat risikan, serta cadangan kerjasama operasi masa hadapan bagi menangani ancaman keselamatan seperti pencerobohan, penyeludupan, dan aktiviti jenayah rentas sempadan.
Selepas perbincangan, delegasi ESSCOM turut dibawa melawat Sistem Pemantauan Laut Sabah (SWASLA). Mereka telah disambut mesra oleh Pengarah SWASLA Sabah, Komander Maritim Abdul Hakim Mohd Idris.
Delegasi turut diberi taklimat ringkas mengenai operasi SWASLA di Main Control Centre (MCC) bagi memahami sistem pemantauan keselamatan perairan secara lebih mendalam.
Pada akhir lawatan, kedua-dua pihak bertukar-tukar cenderamata sebagai simbolik pengukuhan kerjasama strategik yang telah lama terjalin.
Kedua-dua pihak turut merakamkan kenangan sempena pertemuan tersebut dengan sesi bergambar bersama semua pegawai yang hadir.
Turut serta dalam sesi kunjungan itu ialah Pegawai Operasi, Leftenan Komander Maritim Mohammad Nur Hafizul Md Zamri, Timbalan Pengarah Keselamatan, Leftenan Maritim Eddieson Efendi Ussim, dan Penolong Pengarah (Operasi) SWASLA Sabah, Leftenan Maritim Chan Kim Hung.
Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memastikan keselamatan perairan Sabah sentiasa terjamin, sekali gus mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap peranan ESSCOM dan Maritim Malaysia.





















.svg.png)

