PUTRAJAYA, 8 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) meraikan 43 pesara dan bakal pesara dalam satu majlis penghargaan istimewa, Majlis Jasamu Dikenang (MJD) Maritim Malaysia 2024 di Bangi Resort Hotel petang semalam.
Majlis diadakan khusus bagi menghargai pengorbanan dan dedikasi warga yang telah menabur bakti, termasuk 24 pesara paksa dan 19 pesara pilihan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, dalam ucapannya, menyatakan penghargaan atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan pesara dan yang bakal bersara.
Menurut beliau, penganjuran MJD bukan sahaja bertujuan mengiktiraf pengorbanan yang dicurahkan tetapi juga sebagai usaha mengukuhkan ikatan silaturahim antara warga Maritim Malaysia yang masih berkhidmat dan yang telah menamatkan perkhidmatan.
“Sesungguhnya, kehadiran para pesara bukan sahaja menyerikan majlis, malah membuka ruang untuk bersama-sama mengenang segala jasa yang telah diberikan dalam membina keunggulan selama hampir dua dekad Maritim Malaysia sebagai benteng keselamatan perairan negara,” ujar Datuk Haji Mohd Rosli.
Beliau turut merakamkan penghargaan tertinggi kepada para pesara yang telah menyumbang dalam mengukuhkan asas organisasi serta menghadapi pelbagai cabaran maritim sepanjang kerjaya mereka.
“Usaha, sumbangan, dan pengorbanan setiap pesara membentuk sejarah dan kejayaan yang amat berharga bagi Maritim Malaysia. Biarpun telah menamatkan perkhidmatan, legasi yang ditinggalkan akan terus diingati dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” tambah beliau.
Hadir bersama meraikan pesara dan bakal pesara ialah Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim; Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan yang juga bakal bersara penghujung tahun ini, Kepten Maritim Kehormat Mohd Norzam bin Mustapa; Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah serta Pengarah-Pengarah Bahagian dan Negeri.





















.svg.png)

