KOTA KINABALU, 8 SEPTEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan W.P Labuan telah dijemput menyertai Konvensyen Memerangi Jenayah Pemerdagangan Orang dan Buruh Paksa Sempena Sambutan Hari Pemerdagangan Orang Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 pada Khamis lalu.
Konvensyen yang diadakan di Kinabatangan Hall I-II Aras 2, Sabah International Convention Center (SICC) Kota Kinabalu Sabah itu turut disertai pelbagai NGO dan jabatan serta agensi Kerajaan yang berkaitan.
Konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.
Turut hadir sama Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Sumber Manusia, YB Encik Steven Sim Chee Keong.
Program ini merupakan anjuran bersama Pejabat Strategik Nasional, Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (NSO MAPO), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sabah (JTK Sabah) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Membanteras Buruh Paksa dan Buruh Kanak-Kanak Peringkat Negeri Sabah dan diikuti sesi menandatangani ikrar melibatkan lebih kurang 1000 majikan yang hadir pada konvensyen teraebut.
Terdahulu Datuk Seri Panglima Haji Hajiji dalam ucapan beliau menyatakan harapan agar pindaan RUU Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 mendapat sokongan penuh dari Parlimen apabila dibentangkan pada Oktober nanti. Ini adalah penting dalam menjamin keharmonian hubungan antara pekerja dan majikan di samping melindungi bukan sahaja hak pekerja malah hak majikan juga.
Turut hadir mewakili Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan adalah Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Bin Che Engku Daik serta Timbalan Pengarah Operasi Negeri, Kepten Maritim Boon Chin Chau.
Dalam majlis itu juga, Maritim Malaysia turut membuka reruai pameran bagi memperkenalkan peranan dan fungsi agensi dalam menangani isu pemerdagangan dan penyeludupan orang. Reruai pameran turut menerima lawatan daripada tetamu kehormat juga peserta-peserta konvensyen.
![]()



















.svg.png)

