PUTRAJAYA, 17 OGOS – Deruman aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) AS365 N3 Dauphin yang telah melakukan penerbangan flying pass telah menggamatkan suasana Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka di IOI City Mall, Putrajaya hari ini.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Laksamana Muda Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah berkata, gimik berkenaan adalah bagi menarik perhatian orang awam khususnya pengunjung kompleks membeli belah berkenaan sempena program pada hari ini.
Ujar beliau, program yang dianjurkan ini adalah salah satu usaha Maritim Malaysia dalam menyemarakkan semangat patriotisme rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67.
Bukan itu sahaja, program ini jelas beliau merupakan inisiatif strategik yang dirangka Maritim Malaysia untuk mendekati komuniti bandar bagi memperkenalkan peranan dan tanggungjawab Agensi ini dalam menjaga keselamatan Zon Maritim Malaysia.
Selain itu tambah beliau, program ini juga menjadi platform kepada masyarakat bagi memahami tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara keseluruhan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sama ada di darat mahupun di perairan negara.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyempurnakan Program Maritim Malaysia Jiwa Merdeka di sini hari ini.
Turut hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia, Kepten Kehormat Maritim Mohd Norzam Mustapa, pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia serta rakan strategik penganjuran iaitu IOI City Mall, Moxy Putrajaya, Tealive Asia, Moonman, Pop Meals, Bungkus Kaw Kaw dan Mofara Global.
Datuk Rosli pada sidang media yang sama turut menegaskan hubungan erat yang terjalin antara Maritim Malaysia dan komuniti adalah kunci kejayaan dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman Zon Maritim Malaysia.
Ujar beliau, kerjasama masyarakat sama ada komuniti maritim atau bandar adalah sangat penting di mana mereka berperanan sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam melaporkan segala aktiviti salah laku, jenayah, serta kecemasan yang berlaku di laut agar ia dapat diambil tindakan segera oleh pihak Agensi.
“Keselamatan perairan negara bukanlah tanggungjawab Maritim Malaysia semata-mata, tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk masyarakat,
“Oleh itu, Maritim Malaysia amat menghargai kerjasama semua pihak bagi menyalurkan maklumat yang berlaku di perairan negara dalam usaha melindungi dan mengekalkan keselamatan tanah air tercinta,” tambah beliau.
Terdahulu, beliau bersama-sama hampir 5,000 pengunjung telah menyaksikan gimik penerbangan aset udara Maritim Malaysia di hadapan perkarangan pusat membeli belah berkenaan serta Moxy Putrajaya sambil dihiburkan dengan persembahan Pasukan Pancaragam Pusat Maritim Malaysia.
Selain itu suasana turut digamatkan dengan gimik kehadiran Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) yang berpakaian lengkap taktikal bagi mengiringi tetamu kehormat ke reruai Maritim Malaysia di aras G, IOI City Mall.





















.svg.png)

