KUALA TERENGGANU, 3 Julai - Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abdul Majid telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu, Tuan Mohd Nadzri bin Ariffin di Ibu Pejabat JKDM Terengganu pagi tadi.
Tujuan kunjungan hormat ini adalah bagi mewujudkan persefahaman antara kedua-dua agensi dalam melaksanakan tugasan serta aktiviti di luar tugas rasmi.
Malah lawatan ini juga bertujuan bagi mengeratkan kerjasama antara agensi dalam menggalas amanah yang telah ditetapkan terutama tugas penguatkuasaan di perairan Kemaman dan Kuala Terengganu.
Dalam pertemuan empat mata itu, kedua-dua agensi telah merancang melaksanakan operasi bersama serta melakukan pertukaran maklumat risikan terutama bagi isu penyeludupan barang-barang terkawal seperti minyak diesel, rokok dan lain-lain di samping turut membincangkan isu-isu semasa yang berlaku di Negeri Terengganu.
Mohd Nadzri terdahulu merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Maritim Negeri Terengganu atas kejayaan tangkapan kes penyeludupan rokok yang berlaku di perairan Kelantan.
Turut hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu Komander Maritim Mohd Firdaus bin Mohd Anuar, Timbalan Pengarah Pengurusan Maritim Negeri Terengganu, Encik Mohd Mufsi bin Lat serta Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Terengganu Lefternan Komander Maritim Nik Izwan Farid.

















.svg.png)

