PULAU PINANG, 30 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengambil bahagian dalam Karnival Pelaut & Rumah Api 2024 dengan mempromosikan bidang kerjaya di Agensi ini melalui penyertaan pameran yang berlangsung di Straits Quay, Pulau Pinang bermula 29 Jun dan berakhir hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, program ini merupakan platform terbaik bagi menarik minat orang awam khususnya golongan belia untuk menyertai Maritim Malaysia.
“Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan penyertaan mereka yang berkelayakan dan berminat untuk menyumbang bakti menjaga keselamatan maritim negara.
Peluang kerjaya di Maritim Malaysia adalah sangat luas dan menjanjikan pengalaman yang hebat" kata Razali.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Karnival Pelaut & Rumah Api 2024 yang telah di sempurnakan oleh Menteri Pengangkutan, YB Antony Loke di sini hari ini.
Turut hadir dalam program itu ialah Ketua Pengarah Laut Jabatan Laut Malaysia, Kapten Mohamed Halim, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Dr Nor Fuad Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta Pulau Pinang.
Selain pameran kerjaya, Maritim Malaysia turut mempamerkan maklumat berkaitan peranan dan tanggungjawab Agensi dalam menjaga keselamatan di Zon Maritim Malaysia.
Di samping itu para pengunjung karnival turut berpeluang melihat dengan lebih dekat model replika aset Maritim Malaysia selain sebuah aset sebenar iaitu BOT PERKASA 1220 milik Maritim Negeri Pulau Pinang telah dibawa untuk tatapan para pengunjung.
Untuk rekod, sepanjang dua hari karnival berlangsung, reruai pameran Maritim Malaysia telah mencatatkan kehadiran hampir seribu pengunjung yang kebanyakkannya merupakan golongan muda dari sekitar Pulau Pinang.
Razali turut berharap penyertaan Maritim Malaysia dalam program seperti ini dapat mendekatkan masyarakat dengan Agensi sekaligus dapat memperkenalkan fungsi dan peranannya dengan lebih meluas.




















.svg.png)

