PULAU INDAH, 5 JUN – Bagi menjadikan media massa sebagai ejen utama dalam penyebaran maklumat kesedaran keselamatan maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah mengadakan satu program khas bersama wakil beberapa agensi media tempatan, bertempat di Institut Latihan Pengangkutan Laut (MATRAIN) awal pagi tadi.
Program anjuran Bahagian CARILAMAT dan Bantuan Bencana (BCLBB) bersama Unit Komunikasi Korporat (UKK) Maritim Malaysia dengan kerjasama MATRAIN ini merupakan salah satu usaha Agensi dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pentingnya menitik beratkan keselamatan ketika berada di laut dan menguasai sekurang-kurangnya satu teknik menyelamatkan diri ketika berada dalam situasi kecemasan di perairan.
Dalam program itu, media yang hadir diberikan taklimat selain mendapat peluang untuk mencuba beberapa teknik menyelamatkan diri ketika berada dalam keadaan kecemasan khususnya di laut.
Sesi yang berlangsung selama dua jam ini dikoordinasikan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Maritim Malaysia yang diketuai oleh penyelaras latihan iaitu Bintara Kanan Maritim Mohd Azaha bin Ariffin.
Pada program yang sama, media yang hadir turut diberikan penerangan lanjut oleh Ketua Penolong Pengarah BCLBB, Komander Maritim Mohd Ardi bin Mat Nawi berkenaan tujuan program ini dilaksanakan selain berkongsi beberapa tips yang perlu diutamakan sekiranya ingin melakukan sebarang aktiviti di laut.
Antara media yang hadir dalam program ini ialah Radio Televisyen Malaysia (RTM), BERNAMA, Astro AWANI, Sinar Harian, Utusan Malaysia, TV9 dan SelangorKini.
Diharapkan program seperti ini dapat dikekalkan dan dikembangkan secara meluas kepada kelompok masyarakat awam di seluruh negara.





















.svg.png)

