NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
80 PELAJAR UMT JALANI KURSUS ASAS PASKAM DI MARITIM NEGERI TERENGGANU
KUALA TERENGGANU, 19 MEI – Seramai 80 orang Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjalani Kursus Asas Kadet PASKAM di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu selama tiga hari bermula 16 sehingga 18 Mei 2024.
Kursus ini adalah bertujuan untuk mendekatkan diri para kadet PASKAM dengan APMM terutamanya untuk mengetahui peranan dan tugas Agensi.
Antara kursus yang diberikan ialah mengenai teori dan praktikal komunikasi, ilmu kelautan, navigasi dan penggeledahan.
Kursus ini diakhiri dengan penyampaian sijil tamat kursus yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus bin Mohd Anuar.
Untuk rekod, penubuhan PASKAM adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar Universiti Awam (UA) dan murid-murid sekolah menengah mengenai fungsi Maritim Malaysia.
Secara tidak langsung dapat memupuk disiplin diri, semangat kerjasama, kemahiran berkomunikasi, kepimpinan dan nilai-nilai patriotisme hasil daripada menyertai badan beruniform sebagai aktiviti ko-kurikulum di universiti.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.