NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
PENGARAH MARITIM NEGERI PERAK TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DARI ANGKATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA
LUMUT, 14 MEI – Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob telah menerima kunjungan hormat daripada Pegawai Pertahanan Awam Daerah Manjung, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Yang Berusaha Kapt. (PA) Suliana binti Mohamad bertempat di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak pada pukul 9.30 pagi tadi.
Pertemuan dua hala ini adalah sebagai sesi perkenalan Pengarah Maritim Negeri Perak yang baharu serta mengeratkan lagi hubungan dan kerjasama yang terjalin di antara kedua-dua perkhidmatan.
Turut hadir di kunjungan hormat ini ialah Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Fadzliana binti Fadzil dan Pegawai Memerintah KM NYALAU, Leftenan Komander Maritim Nurul Hanin binti Mohd Isa.
Sesi kunjungan ini diakhiri dengan menandatangani buku lawatan, pertukaran cenderamata dan sesi bergambar sebagai simbolik hubungan yang erat di antara Maritim Negeri Perak dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Daerah Manjung.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.