PUTRAJAYA, 8 Mac – Berbaki tiga hari lagi sebelum seluruh umat Islam di negara ini menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak.
Bagi mengimarahkan sambutan Ramadan tahun ini, Seksyen Kerohanian Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Surau Darul Ilmi APMM telah mengadakan Majlis Bacaan Yassin, Tahlil dan Ceramah Istiqbal Ramadan pagi tadi.
Program yang berlangsung kira-kira dua jam itu telah diadakan secara fizikal dan dalam talian bertempat di ruang solat Surau Darul Ilmi Ibu Pejabat Maritim Putrajaya.
Majlis dimulakan dengan bacaan yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Unit Integriti, Ustaz Mohd Ariffin bin Ramdzan.
Majlis diteruskan dengan Ceramah Istiqbal Ramadan bersama Syeikh Mukhtar Jamel dan diterjemahkan oleh Ustaz Darwisy Muhyiddin.
Antara yang hadir ke Majlis ini ialah Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah yang turut menyampaikan cenderahati kepada penceramah sebagai tanda kenang-kenangan di akhir program.
Diharapkan dengan program kerohanian seperti ini dapat memberikan lebih banyak ilmu secara tidak langsung menambah lebih kefahaman terhadap ajaran Islam sempena kedatangan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh warga Maritim Malaysia.