NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
OPERASI INTER AGENSI MARITIM NEGERI SELANGOR BERSAMA PASUKAN POLIS MARIN BAGI MENGUATKUASAKAN ARAHAN PKP DI SEMPADAN PERAIRAN NEGERI SELANGOR
PELABUHAN KLANG, 27 Mac – Sebuah bot penumpang diarah patah balik ke kapal selepas dikesan membawa seorang kru warga Myanmar di Perairan Tanjung Harapan, di sini hari ini, bagi mengelakkan risiko penularan koronavirus (Covid-19). Cubaan itu dikesan semasa rondaan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor dan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dalam Operasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di sekitar Perairan Selangor.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kapten Maritim Mohamad Rosli Kassim berkata, bot penumpang atau teksi air terbabit dilihat keliru dengan PKP yang sedang dikuatkuasakan. Adalah tidak dibenarkan membawa penumpang kru kapal lain kerana bimbang risiko jangkitan wabak Covid-19. Kru kapal yang berlabuh terutama warga asing dilarang untuk keluar dari kapal kerana mereka tidak diketahui sama ada terdapat jangkitan atau sebagainya.
"Jika pihak kapal hendak membeli keperluan asas, mereka boleh menghubungi agen mereka dan menggunakan teksi bot untuk penghantaran bekalan yang diperlukan," katanya kepada Sinar Harian selepas operasi terbabit. Sekiranya gagal mematuhinya, tindakan akan diambil mengikut Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. Pemantauan ini akan terus diperkasa dari semasa ke semasa dalam usaha mengawal dan menguatkuasakan undang-undang," katanya.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.