PELABUHAN KLANG, 11 JANUARI – Cubaan menyeludup masuk 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di perairan Sungai Besar, awal pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil maklumat daripada risikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, sebuah vesel dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 12.35 tengah malam ketika menghampiri muara Sungai Besar.
Jelas beliau, vesel terbabit enggan memberi kerjasama dan berlaku pergelutan ketika anggota penguat kuasa cuba melakukan pemeriksaan.
“Tekong bertindak terjun ke laut bagi meloloskan diri namun berjaya diberkas. Vesel tersebut kemudiannya tersangkut kira-kira pukul 1.00 pagi pada jarak satu batu nautika barat daya muara Sungai Besar akibat air surut,” katanya
Hasil pemeriksaan mendapati vesel itu dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warganegara Indonesia berusia antara 35 hingga 59 tahun, selain membawa 27 PATI terdiri daripada 20 lelaki dan 7 perempuan yang berumur 22 hingga 70 tahun.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan dan tanpa dokumen sah, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), serta Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran. Kesemua suspek bersama vesel ditahan dan diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin dalam pada itu menegaskan Maritim Malaysia komited untuk terus memperketat kawalan dan meningkatkan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan di perairan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut diminta menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.





















.svg.png)

