LUMUT, 17 OKTOBER – Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari daratan terdekat semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan sekitar pukul 3.25 petang di kedudukan kira-kira 13.7 batu nautika barat dari Pulau Buluh ketika kapal Maritim Malaysia sedang melaksanakan rondaan rutin di perairan tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga orang awak-awak warga Thailand serta seorang awak-awak warga Kemboja. Kesemua mereka memiliki salinan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kru bersama vesel, peralatan menangkap ikan serta hasil laut telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen yang ditetapkan.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan rondaan dan pemantauan di perairan negeri ini bagi memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang, seterusnya memastikan kelestarian sumber hasil laut negara terus terpelihara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklumbalas segera.



















.svg.png)

