NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
DOKUMEN KARGO DAN PENGENALAN KRU MERAGUKAN, BOT KARGO DITAHAN MARITIM MALAYSIA
KUDAT, 11 SEPTEMBER – Sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat selepas didapati memiliki dokumen kargo dan pengenalan kru yang meragukan dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kudat, hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Bin Omar berkata, siasatan awal mendapati bot terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua kru bersama bot telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah akta yang berkaitan,” kata beliau.
Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di perairan negara, khususnya di Kudat.
Dalam masa sama, Maritim Malaysia menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah maritim dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.