MERSING, 9 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing melaksanakan satu operasi bantuan aset bagi membawa seorang pesakit warga emas dari Pulau Tinggi ke Hospital Mersing bagi mendapatkan rawatan lanjut di sini, hari ini.
Pesakit, Renah binti Mohd Tasan, 73, disyaki mengalami serangan strok selepas dilaporkan mengalami lemah separuh badan. Klinik Desa Pulau Tinggi telah memohon bantuan pemindahan kecemasan pada pukul 10.15 pagi tadi berikutan kekangan fasiliti dan keperluan rawatan segera.
Aset Maritim Malaysia, Bot Ronda PENGGALANG 43, telah diatur gerak dari pangkalan dan tiba di jeti Pulau Tinggi bagi melaksanakan bantuan aset.
Turut mengiringi pesakit ialah dua orang pegawai perubatan dari pasukan ‘rescue team’ Pulau Tinggi yang memastikan pesakit berada dalam keadaan stabil sepanjang perjalanan.
Bot ronda tersebut selamat tiba di Jeti Syahbandar Mersing pada pukul 11.45 pagi, dan pesakit telah diserahkan kepada pihak Hospital Mersing untuk rawatan lanjut.
Zon Maritim Mersing sentiasa bersiap siaga untuk memberikan bantuan aset kepada komuniti maritim yang memerlukan, khususnya di kawasan pulau yang sukar diakses melalui jalan darat.



















.svg.png)

