TANJUNG KARANG, 9 JUN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas B1 pada sekitar pukul 3.20 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, vesel nelayan itu ditahan kapal ronda Maritim Malaysia, KM DANGA dalam OP EHSAN / OP MURNI / OP TIRIS 3.0 ketika melakukan aktiviti perikanan di kedudukan lebih kurang 7.1 batu nautika Barat Daya Kampung Sungai Terap, Tanjung Karang, Selangor.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel itu dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga kru disyaki warga Myanmar dalam lingkungan umur 30 hingga 41 tahun.
Kesemua kru dan vesel dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana menggunakan mata pukat yang kurang daripada 38mm untuk menangkap ikan, meletakkan tanda kelas kapal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari pantai tanpa kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kes turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan kru tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 013-6606652 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

