LABUAN, 29 MEI – Kecekapan risikan dan tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan membuahkan hasil apabila berjaya menahan empat individu yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback di atas sebuah feri penumpang kenderaan dalam perjalanan ke Labuan, hari ini.
Penahanan dibuat hasil maklumat perisikan yang diterima dan tindakan susulan telah dilaksanakan oleh anggota Maritim Malaysia yang melakukan pemeriksaan rapi ke atas kenderaan tersebut ketika feri berada di perairan Labuan.
Pemeriksaan mendapati keempat-empat penumpang terbabit disyaki terlibat dengan aktiviti yang melanggar peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Mereka telah ditahan serta-merta untuk siasatan lanjut.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Izwanhadi bin Hj Idros, menegaskan bahawa Maritim Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keselamatan perairan negara terpelihara daripada sebarang unsur jenayah, termasuk kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah.
"Maklumat risikan yang tepat dan kerjasama antara agensi menjadi kunci utama kepada kejayaan operasi ini. Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan pemeriksaan, khususnya di kawasan strategik seperti laluan feri," katanya.
Orang ramai diminta untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427882 atau talian kecemasan 999.


















.svg.png)

