LUMUT, 27 MEI – Sebuah vesel nelayan tempatan kelas A ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas dikesan menggajikan warga asing tanpa kebenaran dan melanggar syarat lesen, dalam operasi penguatkuasaan di perairan Pantai Remis, semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan pada sekitar jam 10.20 pagi di kedudukan 2.9 batu nautika barat laut Muara Pantai Remis, setelah mengesan pergerakan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika rondaan rutin.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga awak-awak warga Myanmar berada di atas vesel tersebut, dipercayai digajikan tanpa kebenaran rasmi Ketua Pengarah Perikanan, selain memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan,
“Vesel bersama kesemua kru, peralatan menangkap ikan dan hasil laut telah dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.
Kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, dalam operasi sama, Maritim Malaysia turut merampas 30 set bubu naga yang ditinggalkan di laut di lokasi berasingan iaitu di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Talang, pada sekitar jam 9.20 pagi.
“Pasukan rondaan menemukan beberapa bendera dijadikan penanda lokasi bubu naga oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mengaburi mata penguat kuasa,
“Bubu naga merupakan alat menangkap ikan yang dilarang penggunaannya kerana boleh mengancam ekosistem laut,
“Pemilik boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM20 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.
Shukri dalam pada itu turut menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan menjejaskan sumber hasil laut negara.
Beliau turut menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklum balas segera.




















.svg.png)

