BATU PAHAT, 27 APRIL – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah diaktifkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Batu Pahat selepas kejadian dua nelayan terjatuh ke laut berhampiran Kuala Sungai Suloh, di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, pihaknya menerima aduan daripada anak salah seorang mangsa pada 12.20 tengah hari selepas kedua-dua nelayan gagal pulang sejak keluar ke laut pada 25 April, 3.00 petang.
“Bot PETIR 51 Maritim Malaysia digerakkan ke lokasi sejurus aduan diterima. Mayat pertama, Mahat Rasiman, 77, ditemukan pada 1.00 tengah hari, diikuti mayat kedua, Mohamad Nizam Sarman, 51, kira-kira 45 minit kemudian, kedua-duanya di kedudukan sekitar 0.3 batu nautika barat daya Kuala Sungai Suloh,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dipercayai tergelincir dari bot gentian kaca ketika menangkap ikan. Kedua-dua mayat dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada polis untuk bedah siasat dan pengecaman ahli keluarga.
Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar sentiasa mengutamakan keselamatan ketika berada di laut, khususnya dalam keadaan cuaca buruk dan laut bergelora.
Sebarang maklumat kecemasan boleh disalurkan melalui talian hotline Zon Maritim Batu Pahat di 07-4344020 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.




















.svg.png)

