PELABUHAN KLANG, 27 APRIL – Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor pada kedudukan kira-kira 0.15 batu nautika Tenggara Sungai Lima, Pulau Ketam pada sekitar pukul 6.15 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot yang sarat dengan penumpang itu ditahan oleh KM DANGA yang sedang melaksanakan rutin rondaan dan OPERASI KHAS MARDOF di perairan Selangor.
Hasil pemeriksaan awal ke atas bot itu mendapati, terdapat dua lelaki warga tempatan, seorang berusia 60 tahun bertindak selaku nakhoda bot berkenaan dan seorang kru berusia 18 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melakukan pelbagai kesalahan dibawah
Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana melanggar syarat sah lesen, iaitu lesen dan insuran telah tamat tempoh dan membawa lebihan penumpang seramai 78 orang dan bot tersebut juga melakukan pengubahsuaian yang jelas melanggar syarat sah lesen.
Bot dan nakhoda dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah MSO.
Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi jika mendapati terdapat individu gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

