KUALA KURAU, 5 MAC – Zon Maritim Kuala Kurau berjaya menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas B yang dikendalikan oleh warga asing tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan negeri ini, semalam.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil bin Othman, vesel tersebut ditahan sekitar jam 1.00 petang di kedudukan 12.6 batu nautika barat Pulau Kalumpang, Perak oleh bot ronda Maritim Malaysia, Benteng 03.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel ini dioperasikan oleh dua warga asing tanpa kehadiran pemilik berdaftar, sekali gus melanggar peraturan di bawah Akta Perikanan 1985 yang menetapkan pemilik bot perlu mengusahakan sendiri operasinya,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua warga asing tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menjadikan mereka turut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Vesel, hasil tangkapan serta peralatan menangkap ikan telah dirampas, sementara kedua-dua suspek dibawa ke pejabat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
Berikutan kes tangkapan tersebut, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang. Kami akan terus memperhebat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara bebas daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang,” tegas beliau.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti mencurigakan atau kecemasan di laut, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.


















.svg.png)

