KUANTAN, 24 FEBRUARI – Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail hari ini meninjau keadaan perairan negeri Pahang dengan menyertai operasi udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggunakan helikopter AW139.
Lawatan ini bertujuan menilai tahap keselamatan dan keberkesanan operasi penguatkuasaan maritim di kawasan tanggungjawab (KTJ) Maritim Negeri Pahang, selain memastikan ancaman seperti penyeludupan, pencerobohan nelayan asing, aktiviti curi pasir dan penyeludupan dadah dapat ditangani dengan berkesan.
Ketibaan YAB Menteri Besar dan delegasi di Stesen Udara Maritim Subang disambut oleh Timbalan Ketua Pengarah Logistik Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim, bersama-sama Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab serta pegawai-pegawai kanan Maritim Malaysia.
Operasi pemantauan udara ini merangkumi kawasan Rompin, Teluk Gading, pesisir pantai Pekan, Kuala Pahang hingga ke Pelabuhan Kuantan. Kawasan ini dikenal pasti sebagai titik panas bagi aktiviti jenayah maritim, termasuk penyeludupan rokok, pencerobohan nelayan asing, serta penyeludupan dadah.
Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Haji Mazlan bin Mat Rejab, lawatan ini memperlihatkan komitmen kukuh kerajaan negeri dan Maritim Malaysia dalam memperkukuh kawalan keselamatan di perairan Pahang.
“Selama dua dekad penubuhan Maritim Malaysia, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Maritim Malaysia terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Terdahulu, pada 23 Januari lalu, Maritim Negeri Pahang telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Pahang bagi membincangkan langkah strategik dalam mempertingkatkan penguatkuasaan maritim di negeri ini.
Lawatan tinjauan ini mengukuhkan lagi usaha bersepadu antara kerajaan negeri dan Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Pahang bebas daripada ancaman jenayah serta terus selamat untuk aktiviti ekonomi dan perikanan.





















.svg.png)

