KUALA TERENGGANU, 21 Februari – Maritim Negeri Terengganu telah mematahkan cubaan menceroboh serta mencuri di sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di perairan Terengganu, pada Khamis.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Terengganu telah menerima maklumat daripada Petronas Security Group berkaitan kejadian pencerobohan sebuah pelantar minyak tidak berpenghuni di lapangan Tembikai (CPP TEMBIKAI) pada kedudukan 77 batu nautika Timur Kuala Terengganu pada jam 1.30 tengah hari, Rabu.
Berdasarkan maklumat yang diterima, pasukan operasi telah mengesan tanda-tanda pelantar diceroboh serta terlihat kelibat seseorang sedang bersembunyi di bilik janakuasa ketika melaksanakan pemeriksaan rutin.
Bertindak atas aduan, KM RAWA yang sedang dalam penugasan Op IMAN telah diatur gerak ke lokasi.
KM RAWA tiba di lokasi pada jam 9 malam dan melakukan pemantauan fizikal di kawasan pelantar.
Berikutan keadaan gelap serta ombak kuat yang boleh mendatangkan bahaya kepada anggota, pasukan menggeledah bersama kru operasi pelantar akhirnya berjaya menaiki pelantar pada jam 11.30 pagi, Khamis.
Pemeriksaan ke atas pelantar minyak itu mendapati, keadaan di pelantar berselerak akibat dibongkar, kesan kabel yang dipotong, bateri yang telah dilonggokkan, bekas-bekas makanan serta peralatan yang digunakan iaitu pemotong kabel, set spanar serta tali.
Hasil pemeriksaan lanjut, anggota Maritim Malaysia telah menemui tujuh suspek warga Indonesia berusia dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun sedang bersembunyi di ruang saluran udara (ventilasi) pelantar minyak itu.
Kesemua suspek berjaya ditahan dan dipindahkan ke KM RAWA serta dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk disiasat di bawah Seksyen 378 Kanun Keseksaan.
Hasil soal siasat awal mendapati, kesemua suspek dihantar ke pelantar tersebut menggunakan sebuah bot, namun telah melarikan diri sebaik sahaja melihat kehadiran kapal penguat kuasa.
Sebarang aduan, maklumat serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Negeri Terengganu melalui talian 09-622 3657 atau NG 999 untuk maklum balas segera.





















.svg.png)

