LAHAD DATU, 16 FEBRUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah melaksanakan sebanyak 34,049 pemeriksaan di perairan negeri ini sepanjang tempoh empat tahun, dari 2020 hingga 2024.
Menurut Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali, kejayaan ini adalah hasil daripada rondaan berterusan dan operasi penguatkuasaan yang dijalankan bagi memastikan keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.
“Kami komited dalam memastikan perairan negara sentiasa selamat daripada sebarang ancaman, termasuk pencerobohan, penyeludupan, dan aktiviti jenayah maritim lain,”
“Pemeriksaan secara berkala ini membuktikan keberkesanan pengawasan yang dijalankan oleh Maritim Malaysia,” katanya ketika sesi pemantauan titik panas bersama media Sabah, Sabtu lalu.
Sesi pemantauan itu melibatkan rondaan dari Perairan Telukan hingga Perairan Kunak, yang dimulakan dengan taklimat keselamatan oleh Pegawai Operasi Zon, Leftenan Madya Maritim Lawai Mering. Selain itu, demonstrasi penggeledahan turut diadakan bagi memperlihatkan tatacara pemeriksaan serta tindakan penguatkuasaan di laut.
Sebagai langkah keselamatan tambahan, Maritim Malaysia turut mengedarkan stiker nombor keselamatan Maritim kepada komuniti nelayan bagi memudahkan mereka menghubungi pihak berkuasa sekiranya berlaku kecemasan. Taklimat mengenai Preventive SAR (Search and Rescue) juga disampaikan untuk meningkatkan kesedaran keselamatan di laut.
Dalam usaha memperkukuh hubungan dengan komuniti maritim, Maritim Malaysia Zon Lahad Datu dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) turut mengedarkan beg dan peralatan persekolahan kepada pelajar di kawasan tersebut.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga nelayan dan masyarakat setempat.
Terdahulu, pejabat baharu Zon Maritim Lahad Datu menjadi lokasi bagi majlis bacaan Yasin, tahlil, dan tazkirah sempena Nisfu Syaaban dan sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia. Majlis itu dikendalikan oleh Ustaz Mohammad Yunus Abu, imam kariah merangkap jurunikah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.
Turut hadir dalam program itu ialah Komander Maritim Nik Rizam bin Nik Mohd Fauzi, pegawai staf satu bahagian penguatkuasaan operasi laut ESSCOM, bersama pegawai-pegawai serta anggota Maritim Malaysia.
Zon Maritim Lahad Datu menegaskan komitmennya untuk terus mempertingkatkan kawalan keselamatan perairan negara sambil menjalin hubungan erat dengan komuniti maritim demi kesejahteraan bersama.





















.svg.png)

