GEORGETOWN, 15 FEBRUARI – Sesi pemeriksaan armada menjadi pembuka tirai acara sambutan Ulang Tahun Dua Dekad Maritim Malaysia dengan mempamerkan kesiagaan 13 aset kapal pelbagai kelas yang berlangsung di perairan Pulau Pinang, pagi tadi.
Menteri Dalam Negeri, Yang Berhormat Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail telah diberi penghormatan untuk menerima tabik hormat daripada kesemua aset terlibat termasuk Kapal Peronda Luar Pesisir (OPV), KM Tun Fatimah yang didatangkan khas dari Sarawak.
Mengiringi Menteri Dalam Negeri sepanjang menyempurnakan acara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah serta kepimpinan tertinggi Kementerian Dalam Negeri.
Sesi pemeriksaan armada yang turut dikenali sebagai fleet review bertujuan mempamerkan kesiagaan serta keupayaan aset-aset laut Maritim Malaysia dalam menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan undang-undang dan CARILAMAT di perairan negara.
Aset yang terlibat dengan pemeriksaan armada selain KM Tun Fatimah ialah KM Gagah, KM Mulia, KM Perwira, KM Satria, KM Danga, KM Siangin, KM Redang, KM Sebatik, KM Nyalau, KM Tambisan, serta KM Malawali yang menjadi platform utama serta KM Sikuati sebagai aset sokongan.
Turut hadir dalam acara tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik bin Jeman; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Dato' Abdul Halim bin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim serta Ketua-Ketua Jabatan di bawah agensi seliaan KDN.





















.svg.png)

