KUALA TERENGGANU, 3 FEBRUARI – Maritim Negeri Terengganu menahan sebuah bot penumpang yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan serta mengabaikan aspek keselamatan demi mengejar keuntungan.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid berkata, bot tersebut ditahan dalam Op IMAN ketika dalam perjalanan dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian, sekitar 0.9 batu nautika timur laut Muara Kuala Besut, pada pukul 11 pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 20 penumpang, termasuk nakhoda, pembantu nakhoda, serta tujuh kanak-kanak, dan kesemua mereka didapati tidak memakai jaket keselamatan.”
“Selain itu, bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut Malaysia serta membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” katanya lagi.
Menurut beliau, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan dan penyelenggaraan peralatan kecemasan, termasuk alat pemadam api yang tamat tempoh, boleh mengundang risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.
“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah daripada sebarang insiden tidak diingini,” tambahnya.
Bot tersebut telah ditahan dan diiring ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Maritim Malaysia menegaskan komitmen dalam memastikan pematuhan undang-undang serta keselamatan perairan negara, khususnya di kawasan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.


















.svg.png)

