PORT DICKSON, 30 JANUARI – Seorang lelaki warga Pakistan, Wasif Shehzad, 23 tahun, ditemukan lemas di perairan Pantai Batu 5, Port Dickson, petang semalam selepas operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.
Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haji Mohd Khairi bin Haji Abd Aziz, berkata kejadian itu dimaklumkan oleh Pusat Operasi Maritim Negeri Johor lebih kurang pukul 12.30 tengah hari. Adik mangsa, Amir Ahmad, 22 tahun, turut mengesahkan insiden tersebut dan memberikan maklumat lanjut kepada pihak berkuasa.
Sejurus menerima laporan, operasi CARILAMAT segera diaktifkan dengan penglibatan pelbagai agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Seramai 46 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi berada di lokasi bagi menjalankan operasi pencarian. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggerakkan Bot PERKASA 37 bersama enam anggota bagi melakukan pencarian di perairan, manakala JBPM mengatur gerak bot aluminium dengan 11 anggota penyelam untuk menyelam di kawasan kejadian.
Pos Kawalan Hadapan (PHC) turut didirikan di Pantai Batu 5, Tanjung Lembah, Port Dickson.
Pada lebih kurang pukul 3.13 petang hari yang sama, penyelam JBPM menemukan mangsa kira-kira 100 meter dari pesisir Pantai Batu 5, Port Dickson. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke pantai menggunakan bot aluminium dan diserahkan kepada pihak polis.
Pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi mengesahkan kematian mangsa pada pukul 3.32 petang. Mayatnya kemudiannya dihantar ke Hospital Port Dickson untuk proses bedah siasat.




















.svg.png)

