TAWAU, 23 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo yang disyaki melanggar syarat sah membawa muatan petroleum pada pukul 8.30 malam Isnin lalu.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan bin Raman berkata, hasil maklumat risikan, bot ronda Maritim Malaysia yang menjalankan OP PLUTO TIMUR dan OP TIRIS telah diatur gerak bagi menahan dan memeriksa sebuah bot kargo yang membawa muatan jenis petrol, diesel dan gas cecair (LPG) dari Perairan Tanjung Batu menuju ke Perairan Sebatik.
Pemeriksaan awal ke atas bot kargo yang ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Jeti Kastam Tawau itu mendapati, tiga lelaki warganegara berumur 33 hingga 45 tahun membawa muatan petrol dan diesel di dalam tong drum dianggarkan kira-kira 10,600 liter serta 411 tong gas LPG.
Pemeriksaan dokumentasi ke atas bot yang juga merupakan pembekal barangan bersubsidi ke Pulau Sebatik itu turut mendapati, terdapat perlanggaran peraturan ketika membawa muatan petroleum dan tong gas LPG dengan mengabaikan aspek keselamatan.
Ujar beliau, aspek keselamatan juga perlu dititik beratkan oleh pengusaha-pengusaha bot terutamanya ketika membawa muatan yang berbahaya seperti produk petroleum bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Bot kargo tersebut, seterusnya diiring ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Akta Perkapalan Saudagar (MSO) 1952. Nilai rampasan termasuk bot kargo dianggarkan sekitar RM136 ribu.
Sekiranya terdapat sebarang salah laku jenayah berlaku di sekitar perairan Tawau, orang ramai diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

