KOTA KINABALU, 23 JANUARI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan dan merampas bot nelayan di barat laut Pulau Manukan.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W. P Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Bin Che Engku Daik menyatakan bot peronda Maritim KILAT 36 yang dalam siri Operasi Sejahtera itu telah mengesan bot nelayan tersebut bersama empat orang kru jam lebih kurang jam 11 malam semalam.
Ketika bot peronda cuba menghampiri untuk pemeriksaan, bot nelayan tersebut telah cuba melarikan diri dan berlaku aksi kejar mengejar sebelum kesemua kru bot terjun ke laut untuk meloloskan diri. Seterusnya, hasil pemeriksaan mendapati beberapa peralatan untuk menyelam telah dijumpai bersama muatan ikan yang dipercayai ditangkap dengan cara menggunakan bahan letupan. Pemeriksaan lanjut mendapati keputusan bedah siasat awal adalah positif ditangkap menggunakan bahan letupan.
Selanjutnya bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan yang dianggarkan berjumlah 200 kilogram itu telah dirampas, ditahan dan dibawa ke Jeti APMM, Sepanggar untuk siasatan lanjut. Kes disiasat dibawah Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM4 juta atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM15 ribu.
Aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan bahan terlarang seperti bahan letupan ini boleh memberi kesan buruk kepada ekosistem lautan dan mengakibatkan habitat hidupan laut semakin pupus.
Komuniti Maritim dinasihatkan tidak melakukan aktiviti menangkap ikan yang melanggar mana-mana undang-undang dan peraturan - peraturan yang telah ditetapkan. Tambah beliau lagi, orang awam dimohon menyalurkan maklumat segera bagi menghalang kegiatan mencurigakan di perairan negara. Sebarang maklumat dan aduan boleh menghubungi Pusat Operasi MN Sabah 088-270165 atau MERS 999 bagi memaklumkan sebarang kes kecemasan di laut.




















.svg.png)

