LUMUT, 14 JANUARI – Maritim Negeri Perak menahan dua vesel pukat tunda selepas dipercayai melanggar syarat sah lesen di sekitar perairan Sungai Burung, Perak semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penahanan itu dibuat oleh pasukan operasi menggunakan aset Kapal Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar sektor operasi berkenaan bagi mencegah aktiviti jenayah di Zon Maritim Malaysia.
Kedua-dua tangkapan berkenaan dibuat pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika daripada barat laut Sungai Burung pada sekitar jam 12.45 hingga 1.00 tengah hari semalam, membabitkan dua tekong warga Myanmar dan Indonesia serta dua kru juga warga Indonesia berumur dalam lingkungan 21 hingga 41 tahun.
Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel terbabit berpangkalan di Sungai Burung, Perak dan disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari lima batu nautika dari pantai, tidak memeliki buku lesen, pemilik tidak mengusaha sendiri bot terbabit manakala tekong dan kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta disyaki tidak menggunakan laluan keluar masuk ke negara ini yang diwartakan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/6.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan dengan anggaran 60 kilogram serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak melalui talian 05-6838737 untuk tindakan segera.





















.svg.png)

