PULAU PINANG, 11 JANUARI – Sebuah bot peronda Maritim Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan satu tangkapan terhadap sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C di sekitar perairan Gertak Sanggul pada jam 12.03 awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, pada awalnya bot peronda melakukan rutin penguatkuasaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap sebuah VNT yang pada ketika itu dalam keadaan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.
Bot penguatkuasa menghampiri VNT berkenaan dan mendapati VNT tersebut sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah 15.0 batu nautika dimana mereka melakukan aktiviti menangkap ikan tidak mengikut syarat sah lesen VNT kelas C.
VNT yang berada di posisi itu diperiksa selanjutnya dan mendapati tiga kru warga tempatan dan seorang kru warga Indonesia berumur lingkungan 31 hingga 61 sedang bekerja di atas VNT berkenaan.
Tambah Razali, tangkapan ini dilakukan kerana mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8 (b) mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen dimana mereka menangkap ikan di bawah 15.0 batu nautika. Manakala seorang kru warga Indonesia itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 mengikut seksyen 6 (1) (c) kerana berada di Malaysia tanpa suatu pas yang sah.
Kesemua kru, bot bersama hasil tangkapan dianggarkan 200 kilogram ikan baja telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siastan lanjut.


















.svg.png)

