KUALA KURAU, 11 JANUARI – Zon Maritim Kuala Kurau tahan dua vesel nelayan tempatan kelas B bersama empat warga asing termasuk tekong dari vesel berasingan di kedudukan 0.8 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar, Perak pada pukul 1.35 petang semalam.
Dua vesel itu dikesan ketika melakukan aktiviti perikanan oleh anggota bot Maritim Malaysia dan hasil pemeriksaan mendapati dua vesel itu dikendalikan oleh empat kru warga Myanmar.
Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.
Kesemua nelayan ditahan, vesel dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

