KUALA KEDAH, 11 JANUARI – Tiga nelayan dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke pangkalan daripada melakukan aktiviti merawai sejak petang semalam.
Mangsa, Asrulhisham bin Zainon, 47, Mohd Aiman bin Asrulhisham dan Mohd Amin dipercayai keluar merawai di sekitar kedudukan 10.9 batu nautika barat Pulau Payar.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima panggilan telefon daripada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPD Kuala Muda memaklumkan laporan kehilangan yang dibuat oleh adik kepada salah seorang mangsa.
Bertindak daripada laporan yang diterima, MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dan mengatur gerak bot PERKASA 1224 ke lokasi aduan untuk melakukan pencarian.
Usaha mengesan bot berkenaan turut melibatkan aset daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sehingga kini tiada sebarang petunjuk atau maklumat berkaitan mangsa.
Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.


















.svg.png)

