KUCHING, 24 DISEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan mangsa Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang gagal dihubungi dipercayai karam di perairan Pulau Burong, Kuching Sarawak sejak 17 Disember lalu disambung untuk hari kedua.
OP CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Sarawak bermula jam 7.00 pagi tadi dengan mengatur gerak aset Maritim Malaysia Bot Pengawal 42, dengan dibantu oleh bot PSC 34 dan PA 1 milik Pasukan Polis Marin (PPM), Pesawat CESSNA CARAVAN Pasukan Gerakan Udara (PGU), Bot Destiny milik Angkatan Pertahanan Awam (APM), SC Sari dari Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) serta Bot SRB 11 milik Lembaga Sungai - Sungai Sarawak(LSS)
Pengarah Maritim Negeri Sarawak Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin Bin Jusoh berkata, dua orang mangsa Oeun Van 37 Tahun dan Thy Ny 41 Tahun, masing masing warga Kemboja telah dijumpai oleh nelayan tempatan.
Mangsa Oeun Van telah dijumpai di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya dan dibawa ke Klinik Kesihatan Asajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala mangsa Thy Ny, dilaporkan telah dijumpai oleh Vesel Tug Boat (Tunda) Barami 21 di kedudukan 3.87 BN Barat Tanjung Po lebih kurang jam 3.00 petang semalam dan dibawa masuk ke Jeti Sibu.
OP CARILAMAT yang dikoordinasikan Maritim Malaysia hari ini diperluaskan sektor pencarian meliputi 451.02 batu nautika persegi dengan tertumpu di kawasan perairan Pulau Burong.
Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak dan pencarian mangsa terakhir sedang dijalankan.
Cuaca di lokasi mendung serta kabus dengan kelajuan angin sekitar 20-30 kilometer sejam dan ombak pada ketinggian 1.0 hingga 1.5 meter.
Maritim Malaysia mengingatkan orang ramai agar sentiasa memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut, bawa Personal Locator Beacon (PLB) atau Emergency Position Indicator Radio Beacon (EPIRB) dan sentiasa memakai Jaket keselamatan.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut, salurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak / MRSC Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.





















.svg.png)

