LUMUT, 24 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Medical Evacuation (MEDEVAC) kepada seorang kru vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C yang mengalami kecederaan kaki kiri di kedudukan 53 batu nautika barat laut Pulau Pangkor, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, mangsa tersebut, Bunkrong, 59 Tahun, warga Thailand dilaporkan cedera semasa sedang melakukan rutin kerja harian di atas VNT pada pukul 7.40 pagi berkenaan.
Berikutan kejadian itu, Maritim Negeri Perak telah menggerakkan aset ke lokasi kejadian bagi bantuan pemindahan mangsa dari VNT ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM), Kampung Acheh.
Mangsa telah tiba di jeti PPM dan dibawa menaiki ambulan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Seri Manjung sekitar jam 12.10 tengah hari untuk menerima rawatan lanjut dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Malaysia melalui talian kecemasan 999 atau 05-6838737 Pusat Operasi Maritim Negeri Perak untuk maklum balas segera.





















.svg.png)

