LUMUT, 13 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C bersama lima nelayan warga asing termasuk tekong di kedudukan 15 batu nautika tenggara Pulau Rumbia, Perak pada sekitar pukul 10.27 pagi semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan oleh pasukan operasi KM GAGAH yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Mahathir bin Ismail ketika kapal maritim sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit.
Hasil pemeriksaan ke atas VNT mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 18 hingga 52 tahun.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah kecuali tekong telah mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Kesemua kru yang ditahan tidak menunjukkan rasa bersalah kerana melakukan kerja berkenaan tanpa mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah bersama-sama mereka.
Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat MaritimMalaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan seperti yang ditetapkan.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian05 - 6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

