TUMPAT, 8 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan sekali lagi menunjukkan komitmen tinggi terhadap kebajikan anggotanya apabila segera menghulurkan bantuan kepada keluarga warga kerja yang terjejas akibat banjir besar di negeri ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, melalui Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (KESMAR), pasukan Maritim Negeri Kelantan telah menggerakkan bantuan, termasuk tenaga kerja, sumbangan barangan keperluan asas, serta sokongan kewangan kepada lapan keluarga anggota Pos Maritim Pengkalan Kubor yang terjejas. Kesemua mereka menetap di kawasan sekitar Pengkalan Kubor dan Pasir Mas yang merupakan antara lokasi teruk dilanda banjir.
Tambah beliau, bantuan tersebut turut melibatkan sumbangan dari syarikat Glide Technology Sdn Bhd yang bersama-sama menzahirkan keperihatinan kepada kebajikan mangsa banjir yang kini berhadapan dengan cabaran bencana alam.
“Bantuan tenaga kerja dan kewangan yang diberikan ini mencerminkan kesungguhan Maritim Malaysia untuk sentiasa cakna terhadap keperluan anggota di bawah Agensi ini. Ini bukan sahaja soal tanggungjawab, tetapi juga semangat kekeluargaan yang kami semai dalam organisasi,”
“Sokongan kepada warga kerja adalah tanggungjawab yang dititikberatkan Maritim Negeri Kelantan dalam mendepani ujian ini,” katanya lagi.
Langkah proaktif ini jelas memperlihatkan bahawa Maritim Malaysia bukan sahaja berfungsi sebagai pasukan keselamatan perairan negara, tetapi juga sebagai organisasi yang menghargai nilai kemanusiaan dalam kalangan warganya.




















.svg.png)

