BATU PAHAT, 3 DISEMBER – Sebuah kapal Kargo MALAYSIA STAR telah mengalami kebakaran di kedudukan lebih kurang 9.1 batu nautika Tanjung Laboh, Batu Pahat Johor, semalam.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal memaklumkan, pihaknya telah menerima aduan dari Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) lebih kurang 8.40 pagi, semalam.
Sebaik menerima maklumat, dua buah bot peronda Maritim Malaysia bersama sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat dan membuat kawalan keselamatan.
Terdahulu, kapal terbabit dilaporkan sedang menuju ke Kota Kinabalu dengan membawa 19 orang kru iaitu seorang warga tempatan dan 18 warga Filipina.
Kesemua mangsa dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan dan telah dipindahkan ke bot peronda Maritim Malaysia untuk dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
Kerja-kerja pemadaman api masih giat dilakukan memandangkan tangki minyak berada di bawah tempat kebakaran.
Setakat ini tiada tumpahan minyak dilaporkan dan Maritim Malaysia akan membuat pemantauan berterusan.



















.svg.png)

