BINTULU, 7 NOVEMBER – Zon Maritim Bintulu telah menahan sebuah bot tunda di kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada jam sekitar 09.30 pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, penahanan itu dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 ketika memeriksa bot tunda berwarna putih yang sedang merapat di sisi sebuah tongkang yang membawa muatan kontena.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tunda itu dikendalikan oleh dua kru warga tempatan termasuk nakhoda, tiga kru warga Indonesia, tiga kru warga Myanmar dan dua kru warga india di mana kesemua mereka dalam lingkungan umur 19 hingga 56 tahun.
Bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500.
Bot tunda berserta kru ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan di laut bagi mengelakkan serta mengurangkan risiko insiden yang tidak diingini berlaku.
Sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian kecemasan NG 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

