MIRI, 6 NOVEMBER – Zon Maritim Miri menahan dua bot tunda secara berasingan pada jarak sekitar 3.5 batu nautika barat daya, Kuala Baram hari ini.
Pengarah Zon Maritim, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar bin Saad berkata, kedua-dua vesel ditahan pada pukul 10.30 pagi dan 11.05 pagi semasa pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 di perairan Miri siang tadi.
Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua vesel berkenaan dikendalikan oleh enam kru terdiri daripada seorang warga tempatan, empat warga Indonesia dan seorang warga India yang berusia dalam lingkungan antara 22 hingga 59 tahun di mana masing-masing didapati memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Kedua-dua vesel bersama kru telah diiring ke Jeti Pusat Tahan Vesel (PTV) Pulau Melayu untuk tindakan lanjut. Les disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu gagal mengemukakan dokumen pertukaran nakhoda semasa pemeriksaan dilakukan.
Maritim Malaysia terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang di perairan negara dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim (PUSOP) Zon Maritim Miri di talian 085-649 111 / PUSOP Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 082-432016 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

