KUCHING, 3 NOVEMBER – Lapan pemancing yang dilaporkan tidak pulang ke jeti pada Khamis lalu, ditemukan selamat oleh bot nelayan tempatan di kedudukan kira-kira 37 batu nautika barat laut Belawai di perairan Ohcoi Sarawak, pada jam 5.25 petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, kesemua mangsa telah selamat tiba di Jeti Samariang Batu, semalam; sebelum dibawa dengan ambulan ke Hospital Kuching untuk pemeriksaan kesihatan.
Dengan penemuan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) telah ditamatkan pada jam 6.00 petang
Lapan pemancing yang hilang iaitu Husin bin Ayub, 67, Samarin bin Sharkawi, 33, Mohamad Haikal bin Sharkawi, 17, Mohd Azizi bin Hamzi, 17, Dahlan bin Ramli, 41, Hasrin bin Ismail, 53, Johari bin Bujang, 51 dan Abdullah bin Ajek, 56 telah keluar ke laut dari Jeti Semariang Batu pada jam lebih kurang 9.00 pagi, 29 Oktober.
Namun, mereka tidak pulang ke jeti pada hari Khamis (31 Oktober), disebabkan bot pancing yang dinaiki mereka mengalami kerosakan pada bahagian enjin.
Maritim Malaysia menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Op CARILAMAT ini terutamanya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM) Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut Wilayah Sarawak, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak / MRSC Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

