LAHAD DATU, 15 JULAI – Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel nelayan tempatan (pukat tunda) pada jam sekitar 5.55 petang semalam.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Leftenan Maritim Mohd Firdos bin Ayob berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam OP PLUTO TIMUR 2/2013 dan OP TIRIS 3.0 telah mengesan sebuah bot nelayan sedang menjalankan aktiviti menarik pukat pada jarak lebih kurang 4.95 batu nautika utara Pulau Tabawan.
Pemeriksaan mendapati bot itu mempunyai nombor pendaftaran yang sah, namun telah melakukan kesalahan Akta Perikanan 1985 iaitu lesen perikanan tamat tempoh.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu telah melanggar syarat lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Perlabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) kerana gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
Juragan dan kru bot disyaki melakukan kesalahan di bawah peraturan Enakmen Pelabuan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
Suspek terbabit merupakan lima lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan tiga warga Indonesia berumur antara 19 hingga 51 tahun berada di atas bot itu ketika ditahan.
Antara kesalahan-kesalahan yang direkodkan adalah alat pemadam api tamat tempoh, tidak mempunyai jaket keselamatan, gagal melaporkan pertukaran nakhoda dan kesalahan kecil yang telah ditetapkan dalam Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002.
Jika didapati bersalah, pemilik bot akan dikenakan oleh JPDS kompaun mengikut kesalahan yang dilakukan.
Kesemua kru, bot serta muatan hasil laut ditahan dan diiring ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Lahad Datu untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985.
Orang ramai turut diminta membantu pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau talian kecemasan NG999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

