PELABUHAN KLANG, 12 JULAI – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan 9.8 batu nautika barat daya Sekinchan, kira-kira 11.10 malam semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan dibuat oleh kapal peronda Maritim Malaysia dalam OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS di kedudukan bawah 15 batu nautika dari daratan ketika kru bot berkenaan sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan.
Pemeriksaan awal mendapati, bot berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan, 57 tahun bersama empat kru warga Myanmar berusia dalam lingkungan 26 hingga 36 tahun.
Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Bot bersama kru yang ditahan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu melakukan aktiviti penangkapan ikan bawah 15 batu nautika, menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Perkhidmatan Panggilan Kecemasan Next Generation Emergency Service (NG999) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

